Thursday, August 27, 2009

Amal tanpa Ilmu

Ikhwah fillah…

Cuma satu nasihat buat diri ana dan antum semua.

Ilmu tanpa amal memang adalah sia-sia. Akan tetapi yang jauh lebih bahaya adalah beramal tanpa ilmu. Kerana bahaya berilmu tanpa amal cuma terhenti pada diri sendiri akan tetapi beramal tanpa ilmu akan membahayakan seluruh ummat manusia. Boleh jadi dia menyangka telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki sesuatu, akan tetapi yang sebenarnya berlaku adalah dia sedang merosakkan binaan yang telah dibangunkan oleh orang lain.

Ibarat seorang tukang buat rumah tua yang tidak tahu perinsip engineering dalam membuat rumah, dia cuma mempunyai pengalaman yang banyak dalam membuat rumah. Apabila dia dipanggil dan diupah untuk membuat sebuah rumah modern bersama-sama dengan sekumpulan pembuat rumah yang lainnya, dia tidak tahu membaca pelan. Lalu dia membuat rumah tadi cuma berdasarkan pengalamannya sendiri kerana merasakan yang dia telah membuat rumah bertahun-tahun tanpa perlu mengetahui cara membaca pelan. Sedang orang ramai membina rumah mengikut pelan yang diberi, dia cuma mengagak-agak sahaja. Bagaimana agaknya hasil rumah itu nanti?

Ibarat juga seorang yang cuba membaiki kereta dengan kaedah cuba-cuba. Sedangkan dia langsung tidak tahu cara membaiki kereta yang sebenarnya.

Jadi, marilah kita sama-sama jangan memandang rendah kepada keperluan ilmu pengetahuan. Mudah-mudahan kita tak termasuk dalam golongan yang sedang membawa kerosakan tetapi kita tidak menyedarinya. Terutama apabila antum sudah mulai naik menjadi pemimpin, dan antum akan ditanya tentang semua orang yang dibawah pimpinan antum. Ketahuilah beban seorang pemimpin itu tersangat berat. Janganlah akhirnya kita menjadi pemimpin yang sambil lewa terhadap orang yang kita pimpin, kerana kita menanggung semua orang yang kita pimpin.

Dibawah adalah tulisan adik ipar ana, (seorang pelajar di yaman dalam university al-iman(university ikhwanul muslimin)) tentang usul isyrin yang kedua:

Imam As-Syahid telah mengatakan : “Al-qur’an hendaklah difahami mengikut kaedah-kaedah bahasa Arab tanpa memberat-beratkan dan tidak pula membabi-buta”

Sunnatullah telah menetapkan bahawa setiap rasul yang diutuskan kepada kaum-kaum tertentu adalah berdasarkan Lisan Qaum ( bahasa kaum ) tersebut, dan kitab yang diturunkan juga merupakan dari bahasa yg sama .
Firman Allah SWT :
(( وما أرسلنا من رسول إلا بلسان قومه ليبين لهم))
“ Dan kami tidak mengutuskan seorang rasul pun , kecuali dengan bahasa kaumnya, agar dia dapat memberi penjelasan kepada mereka” (Surah Ibrahim :4)

Hakikatnya, Muhammad SAW diutuskan dan diwahyukan kepada-Nya Al-Qur’an dengan Lisan Arab sebagai rahmat untuk sekelian alam . Firman Allah SWT :
(( إنا أنزلناه قرآنا عربيا لعلكم تعقلون))
“ Sesungguhnya kami menurunkan-Nya berupa Qur’an berbahasa Arab agar kamu mengerti”
(Surah Yusuf : 2)

Oleh itu, Ummah Islamiyyah haruslah memahami Al-quran mengikut kaedah-kaedah bahasa Arab tanpa memberat-beratkan dan tidak pula membabibuta, disini beberapa ilmu yang perlu bagi seseorang yang ingin menafsir Al-qur’an seperti :

- Ilmu Nahu & Sorof
- Ilmu Adab dan Balaghah
- Ulum Al-quran
- Ilmu Usuluddin dan Tauhid
- Ilmu Usul Fiqh
- Ilmu Hadith , Fiqh , & Sirah
- Ilmu Kemasyarakatan, Geografi dll .. ..

Sepertimana dikatakan oleh Imam Mufassir Al-Mujahid Syiekh Manna’ Qhattan :
( لا يحل لأحد يؤمن باالله واليوم الآخر أن يتكلم في كتاب الله إذا لم يكن عالما بلغات العرب)
“ Tidak Halal, bagi seorang yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat , bercakap tentang Kitab Allah (Al-qur’an) sekiranya dia tidak mengetahui / mahir Bahasa Arab”
( مباحث في علوم القرآن للقطان)- -


Imam As-Syathibi berkata : “ .. Berkata sesuatu tentang Al-quran dan Sunnah tanpa ilmu merupakan Takalluf ( memberat-beratkan/ sukar & tidak terdaya) dan kita telah dilarang daripada memberat-beratkan, dan termasuk dibawah makna hadith ini :

(( حتي إذا لم يبق عالم اتخذ الناس رؤساء جهالا))
“ Sehingga tiada lagi Alim Ulama’, manusia akan mengambil/ melantik orang-orang yang jahil”

Kerana apabila tiada pada mereka Lisan Arabi (Bahasa Arab), mereka meruju’ kepada Al-quran dan Sunnah Nabi SAW dengan kefahaman mereka yang A’jami (Asing daripada bahasa Arab), dan akalnya hanya terhad atau terbatas pada berpegang pada dalil-dalil yang menyesatkan daripada kebenaran” ( Jami’ Al-Usul / Al-I’tishom)

Ketahuilah bahawa sesungguhnya ,tidak digalakkan menafsir Al-quran dengan hanya pendapat-pendapat atau ijtihad dan tidak mengambil asas ilmu untuk menyandarkan pada-Nya, sepertimana Firman Allah :

(( ولا تقف ما ليس لك به العلم ))
“ Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang tidak kamu ketahui.”

(( وأن تقولوا علي الله ما لا تعلمون ))
“ Dan mengatakan apa yang tidak kamu ketahui.”

Sabda Nabi SAW :

(( من قال في القران بغير علم فليتبوأ مقعده من النار))
“ Barang siapa yang berkata tentang Al-quran tanpa ilmu, maka bersedialah tempatnya di neraka” ( Riawayat Al-Baihaqy , hadith daripada Ibn Abbas Nabi SAW bersabda :

(( من قال في كتاب الله برأيه فأصاب فقد أخطأ))
“ Barang siapa yang berkata tentang Kitab Allah dengan pandangannya , kemudian betul, maka dia sebenarnya telah tersalah” ( Dikeluarkan oleh Abu Daud dan Tarmizi)


Sunnah:

*لا قرآن بغير السنة *
Imam As-Syahid berkata : “Sunnah pula difahami melalui periwayat-periwayat hadith yang thiqah”

Imam As-Syahid bukan sekadar menunjukkan kepada sumber yang sahih kepada hukum-hukum , bahkan beliau menunjukkan juga jalan yang ideal untuk memahami Al-qur’an dan Sunnah ,supaya setiap orang tidak mengambil atau meninggalkannya menurut hawa nafsunya tanpa dalil.
Beliau menjelaskan bahawa Sunnah difahami melalui perawi-perawi hadith yang Thiqah (dipercayai) . Merekalah manusia yang paling berkemampuan dalam menentukan kesahihan sesuatu hadis atau tidak dalalahnya (hukum/maksud) serta makna-maknanya .
( نظرات في رسالة التعليم – محمد عبد الله الخطيب)
Perbezaan Al-quran dan Sunnah :

Al-qur’an ialah dalil qat’ie thubut , diambil secara Mutawatir Yakiiny , manakala Sunnah pula , hadith yang paling sedikit ialah hadith Mutawatir , dan kebanyakannya pula, thabit dengan hadith-hadith Ahad .
Al-qur’an lafaz & makna-Nya daripada Allah, manakala Sunnah pula lafaznya dari Nabi SAW dan maknanya dari Allah SWT.

Al-quran diturunkan melalui perantaraan malaikat Jibril a.s kepada Nabi SAW, dan Sunnah pula melalui ilham, mimpi benar (Ru’ya Sadiqah), dan daripada-Nya ada yang di thabitkan dengan ijtihad Nabi SAW daripada apa yang Allah tetapkan kepadanya (Wahy Al-Bathin) .
-( مدخل لمعرفة الإسلام – د.يوسف القرضاوى ) -


Imam Ibn Hazm mengatakan : “ Bukan hanya sekadar Al-qur’an yang dijaga oleh Allah SWT, tetapi Allah juga menjaga Sunnah didalam hati-hati Rijal, sepertimana firman Allah SWT :
(( إنا نحن نزلنا الذكرى وإنا له لحافظون))
“ Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Zikra (Al-qur’an) ,dan pasti kami memeliharanya.”(Surah Al-Hijr : 9)

“Zikra”(peringatan) disini bukanlah hanya bermaksud Al-qur’an , tetapi “Zikra” ialah Al-qur’an dan Sunnah berdalilkan Firman Allah SWT :
((لتبين للناس ما نزل إليهم))
“ Agar engkau ( Nabi SAW ) menerangkan kepada manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka.” ( Surah An-Nahl : 44)

Penerangan termasuk didalam peringatan, maka penjagaan Allah merangkumi Al-qur’an dan Sunnah.” -( الإحكام في أصول الأحكام ،ابن حزم)-

Hadith-hadith sahih beserta perawi-perawi yang Thiqah (dipercayai) boleh didapati di dalam kitab-kitab hadith tersebut :

Sohih Bukhari
Sohih Muslim
Sunan atau Sohih Tarmizi
Sunan Abi Daud
Sunan Nasa’i
Sunan Ibnu Majah
Al-Mawatta’ Imam Malik
Musnad Imam Abi Hanifah
Musnad Imam As-Syafi’e
Musnad Imam Ahmad bin Hanbal
Musnad Imam Ad-Daarami

Para fuqaha’ dan muhadiithin telah bersepakat bahawa Kitab Sohih Bukhari merupakan rujukan ke-2 selepas Al-qur’an dan Sohih Muslim selepasnya .

Kesimpulan :

Dalam usul ini menunjukkan kepada kebijaksanaan Imam As-Syahid dalam menyatukan hati-hati Ummah Islamiyyah iaitu dengan mengajak kepada dalil-dalil yang disepakati jumhur, iaitu Al-qur’an dan Sunnah, adapun dalil-dalil hukum yang lain seperti ijma’, qias , istihsan dan sebagainya merupakan khilaf di kalangan ulama’ dan ada satu golongan kecil tidak menerimanya.
Dalil-dalil hukum yang lain hanya diambil berdasarkan pada apa yang telah dithabitkan oleh Al-quran dan Sunnah .

Al-qur’an dan Sunnah merupakan dua sumber yang qat’ie dan ma’sum (terjaga daripada kesalahan) yang tiada perselisihan diantara keduanya bagi seorang muslim yang betul Islam-nya.
Tiada gunanya Al-Quran tanpa Sunnah .

( لا قرآن بغير السنة)
Tiada gunanya fiqh tanpa Sunnah, tiada gunanya Sunnah tanpa fiqh .

( لا فقه بغير السنة ، ولا سنة بغير الفقه)
Tiada pada Sunnah satu perkara pun yang terkeluar daripada Al-qur’an, ini kerana Sunnah menerangkan perkara yg Ijmaali (keseluruhan) dalam Al-quran , serta mengkhususkan ke-umuman ayat Al-qur’an serta Mentaq’yid (mengikat) ayat-ayat Al-qur’an yang Mut’laq .

Al-Quran menerangkan Qawaid (kaedah-kaedah), dan Sunnah pula mendetailkan hukum-hukum .
Ummah Islamiyyah hanya akan terselamat daripada kesesatan apabila mereka berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah sepertimana sabda Nabi SAW :

(( تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما مسكتم بهما : كتاب الله وسنة نبيه))
“ Aku tinggalkan untuk kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengannya iaitu Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya”

****** ****** ****** ******* ******* ****** ****
Rujukan Asas :

(مدخل لمعرفة الإسلام) ـ د.يوسف القرضاوى
(في رحاب الأصول العشرين) ـ محمد سعيد مرسي
(فهم أصول الإسلام) ـ د.على عبد الحليم محمود
( نظرات في رسالة التعليم) ـ محمد عبد الله الخطيب
(فهم الإسلام في ظلال الأصول العشرين) ـ جمعة أمين عبد العزيز
( النهج المبين لشرح الأصول العشرين) ـ أ.د.عبد الله قاسم الوشلي
(Pandangan Semula Kepada Risalah Ta’lim )


Read more...